Permulaan langkah ini bermula dari ajakan 2 teman setugas di Dubai, Ahmad Sabri dan Zul iPower, yang masing-masing juga pertama kali mahu melangkah ke tanah Arab Saudi. Mereka pernah ke negara Eropah dan Mediterranean, mencari cinta sejati dan melihat tamaddun manusia. Tapi cinta yang hakiki juga yang diperlukan untuk kehidupan yang kekal abadi.
Melalui Al Hamar Hajj Services, berpejabat di Dubai, dengan kos AED 1700, kami mendaftarkan diri bersama-sama 42 orang yang lain. Bas berhawa dingin disediakan dengan keadaan yang "ok". Warganegara India paling ramai, diikuti Bangladesh dan Pakistan. Seorang warga Bangladesh yang pernah berkerja di Sawah Ring, Grisek, Muar (kawasan kelahiranku), selalu menyapa kami dengan kata-kata "Sudah makan?", walaupun pada masa siang hari, masa kita berpuasa (Ramadhan 1432H).
Jadual perjalanan kami dari Dubai ke Madinah dan dari Madinah ke Mekah. Perjalanan pergi ke Madinah mengambil masa hampir 26 jam dengan berhenti untuk solat, bersahur dan berbuka. Di Madinah, kami bermalam untuk 3 malam. Kemudian kami ke Mekah untuk 3 malam lagi. Selepas solat sunat Aidil Fitri, kami berangkat pulang ke Dubai. Perjalanan pulang ke Dubai mengambil masa hampir 28 jam.